Kuala Lumpur: Malaysia akan terus memimpin dan memerangi penindasan, sama ada dalam atau di luar negara.
Hal itu seiring kepercayaan bahawa keadilan adalah hak setiap manusia di mana sahaja mereka berada.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan yang disuarakan oleh seorang mantan Menteri baru-baru ini. Katanya, mantan berkenaan menganggap negara perlu lebih mengutamakan kebajikan rakyat sendiri berbanding nasib rakyat Palestin terletak jauh 7600-kilometer (km) dari tanah air.
“Tindakan itu bukan sahaja mencerminkan hujah kurang cerdik, tetapi satu gejala kejahilan moral amat membimbangkan. “Persoalannya adalah perjuangan keadilan hanya berlaku dalam sempadan negara sahaja? Jika itu logik, mengapa kita perlu mengutuk kezaliman apartheid di Afrika Selatan satu ketika dahulu?
“Mengapa negara menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia ketika pembantaian Srebrenica?,” soalnya dalam satu kenyataan. Tegas Muhammad Kamil, sejarah membuktikan negara tidak pernah menjadi penonton dalam peristiwa-peristiwa besar dunia.
Katanya, negara turun ke gelanggang melawan kezaliman dan penindasan di luar sempadan dan terus berbuat demikian. “Sebagai contoh, ketika tragedi Bosnia terjadi dunia hanya mampu menatap dan mengutuk dari jauh.
“Namun, negara bersolidariti malah menghantar pasukan pengaman dan memberi bantuan ketenteraan menyelamatkan rakyat Bosnia dizalimi.
“Mengapa kini kita harus berdiam diri apabila rakyat Palestin terus dizalimi rejim Israel?” soalnya lanjut. Beliau turut memetik kata-kata pejuang anti-apartheid dan mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, menyatakan kebebasan tidak akan lengkap selagi rakyat Palestin terus dipijak.
“Jika seorang pemimpin dan pejuang keadilan seperti Mandela dapat memahami persoalan keadilan mengapa ada dalam kalangan kita menentang usaha ini?
“Begitu juga dengan kata-kata intelektual Palestin, Edward Said, bahawa setiap penindasan tidak disanggah adalah keizinan untuk penindasan lebih dahsyat,” ujarnya lagi. Sambungnya, lebih mengecewakan ada segelintir pihak yang menggunakan alasan perlu utamakan rakyat tempatan terlebih dahulu.
Tuturnya, hujah berkenaan sangat lemah dan tidak bernas lebih lagi dikeluarkan oleh mantan Menteri.
“Sejak bila menonjolkan kepedulian terhadap Palestin bermakna mengabaikan kebajikan rakyat sendiri?
“Adakah keupayaan untuk menunjukkan rasa ihsan hanya terbatas pada rakyat kita sahaja?
“Menjadi tanggungjawab sebagai negara berprinsip untuk turut bersolidariti dengan rakyat tertindas di luar sana tanpa mengabaikan kepentingan dalam negara?” katanya lanjut. Muhammad Kamil berkata, negara memberi sumbangan kepada dunia dengan mempertahankan hak asasi manusia.
“Kita tidak akan sesekali menjadi penonton dalam sejarah. Kezaliman mesti dilawan, tanpa mengira sempadan geografi,” ujarnya.