Tarikh untuk melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijriah.
Pengisytiharan tarikh Hari Raya Adidilfitri akan diumumkan pada malam berkenaan.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan tarikh tersebut.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” katanya pada Sabtu.
Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Syawal.
“Ia adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
“Lokasi lain Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan.
“Selain itu, termasuk juga Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis,” ujarnya.
Sumber : Malaysian Gazette