Hospital Melaka diarahkan untuk menyiasat dakwaan seorang lelaki yang hantarannya turut tular di laman sosial sejak semalam mengenai keadaan tangan bayi saudaranya menjadi bengkak dan bernanah selepas dimasukkan jarum oleh kakitangan pusat kesihatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya telah pun menghubungi Pengarah Hospital Melaka, Dr. Zaharimah Abdul Kadir berhubung dakwaan tersebut dan meminta agar satu siasatan dijalankan.
“Saya ada membaca media sosial mengenai dakwaan Encik Mohamad Izwan terhadap Hospital Melaka. Saya sebagai Exco Kesihatan mengarahkan Pengarah Hospital Melaka membuat siasatan tentang perkara ini,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini.
Sejak semalam, tular di Facebook mengenai perkongsian seorang individu menggunakan nama Mohamad Izwan yang memuat naik gambar tangan anak saudaranya menjadi bengkak ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kerana demam campak.
Kejadian itu didakwanya berlaku selepas 11 hari mendapatkan rawatan dan pihak hospital memaklumkan pembedahan perlu dilakukan bagi membuang nanah di bahagian tersebut.
“Hospital Melaka punya kerja. Terbaik sangat. Mana korang belajar ya? Sampai boleh bengkak tangan bayi. Doktor minta buat pembedahan sebab ada nanah dekat dalam tu, tak pasal anak buah aku yang umurnya tak sampai lagi dua bulan nak kena itu, ini. Ini atas kecuaian Hospital Melaka ya. Bayi tu datang sebab cacar air (chikenpox) je,” tulis Mohamad Izwan dalam hantaran tersebut.
Sumber : Kosmo