TEKA-TEKI berhubung destinasi seterusnya penyerang naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh kembali rancak diperkatakan oleh peminat bola sepak tempatan.
Ia rentetan dakwaan legenda bola sepak tempatan, Khalid Ali semalam yang menyifatkan keputusan bekas penyerang Pahang itu menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada awal bulan ini, besar kemungkinan sekadar satu ‘persinggahan sementara’ sebelum menyertai pasukan seterusnya.
Penghijrahan ke Police Tero FC itu disifatkan Khalid sebagai ‘tempoh bertenang’ selepas Sumareh, 25, menamatkan kontrak bersama Pahang secara mengejut, sekali gus meninggalkan pasukan itu dengan penuh kontroversi.
Justeru, rata-rata pemerhati bola sepak tempatan percaya Sumareh bakal menjadikan pasukan elit, Johor Darul Takzim (JDT) sebagai destinasi seterusnya sebaik kontraknya sebagai pemain ejen bebas bersama Police Tero FC berakhir selepas ini.
Tambahan pula, terdapat spekulasi bahawa Sumareh hanya sekadar menyertai kelab Thailand itu secara pinjaman, sekali gus bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang sayap sensasi JDT, Safawi Rasid yang dikhabarkan bakal berhijrah kelab Liga Premier Portugal, Portimonense SC.
Khabar angin itu bagaimanapun segera dinafikan oleh Sumareh.
“Siapa kata saya akan menyertai JDT? Di mana mereka mendengar semua ini?
“Saya bukannya dipinjamkan, ini semua tuduhan yang tidak betul.
“Saya hanya mahu ke sini (Police Tero FC) dan membuat sesuatu yang paling pandai saya lakukan…. iaitu bermain bola sepak,” kata Sumareh kepada New Straits Times.
Media tempatan semalam melaporkan dakwaan Khalid bahawa terdapat perancangan tersusun di sebalik tindakan berani Sumareh menamatkan kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) yang bertanggungjawab menaturalisasikan beliau.
“Saya tidak mahu menuding jari, tetapi ini mungkin satu strategi yang rapi,” kata Khalid kepada Bernama.
“Ini cara beliau (Sumareh) beralih ke pasukan lain, kita panggil ‘cooling period’. Perpindahan beliau ke Thailand bersifat sementara dan selepas tamat tempoh bertenang itu, beliau akan kembali bermain dengan pasukan diidami.
“Kemungkinan ini bukan perancangan Sumareh, tetapi ia adalah satu taktik untuk beliau (Sumareh) dapat bermain dengan pasukan yang mungkin telah berunding dengannya,” tambah bekas pemain bintang era 80-an itu.
Perpindahan Sumareh ke Thailand pada 7 September lalu hanya berlaku dalam tempoh dua minggu, sejurus selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan Sumareh tidak menjalani sesi latihan berpasukan selama sebulan, sejak awal Ogos lepas.
Sumareh yang mempunyai baki kontrak sehingga 2022 bersama Pahang, turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super membabitkan negeri itu sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos.
Sebelum itu, media tempatan turut melaporkan kemelut antara Sumareh dan PBNP yang berpunca daripada kegagalan PBNP membayar gaji pemain itu, sekali gus menyaksikan beliau membuat tuntutan sehingga lebih RM1 juta ke atas Pahang menerusi peguamnya yang berpangkalan di Switzerland.
Sumber: Berita Harian