Ketika wabak Covid-19 menyerang seluruh dunia pada tahun 2020, hampir kesemua sektor perekonomian lumpuh termasuklah industri seni hiburan.
Bagi penyanyi Muna Shahirah, rezekinya terputus apabila tidak dapat menjayakan persembahan seperti biasa ekoran wabak yang melanda.
Namun selagi ada usaha, masih banyak ruang rezeki lain yang tidak disangka-sangka boleh menjadi pengganti.
Seperti yang ditunjukkan oleh Muna atau nama lengkapnya Muna Shahirah Munadi, 28, yang berjaya menjadikan aktiviti bermain permainan video dalam talian, Player Unknown’s Battlegrounds atau PUBG sebagai sumber pendapatan, bermula tiga tahun lalu sejak pandemik menular.
“Ketika saya hilang punca pencarian sebagai penyanyi semasa Covid-19 tiga tahun lalu, adik saya sarankan bermain PUBG,” katanya kepada Kosmo.
“Alhamdulillah selepas tiga tahun, saya kini bergelar seorang pemain PUBG profesional malah bekerja dalam bidang ini secara serius untuk menjana pendapatan,” kata Muna.
Tambah bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-11 itu, orang lain juga boleh menjadi sepertinya, namun perlu tahu cara dan masa yang betul.
“Kena ikat kontrak dengan sesebuah syarikat. Kalau bermain untuk diri sendiri, susah nak jana pendapatan lumayan.
“Seperti saya ikat kontrak bersama Facebook. Semuanya terjadi apabila salah sebuah kandungan saya ‘meletup’. Jadi pihak Facebook sendiri menghubungi saya untuk ikat kontrak bersama mereka.
“Jadi majikan saya sekarang ialah Mark Zuckerberg (pengasas Facebook),” jelasnya.
“Waktu bekerja pula saya suka bekerja dua minggu kemudian cuti dua minggu dalam sebulan. Saya boleh tentukan masa sendiri. Contohnya dalam sebulan berapa jam saya akan luangkan masa bermain PUBG,” jelasnya.
Sama seperti pekerja di mana-mana syarikat, Muna menerima gaji setiap bulan berserta slip gaji dan caruman Perkeso.
“Dalam sebulan saya boleh jana pendapatan mencecah sehingga lima angka. Pernah sekali saya menjana pendapatan sehingga enam angka.”
Gambar & Sumber : Kosmo