Tindakan seorang tahanan lelaki melarikan diri dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pagi semalam berjaya diberkas semula dalam tempoh empat jam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tahanan berusia 45 tahun itu melarikan diri sekitar pukul 9.40 pagi semasa hendak dibawa menaiki lori polis.
Katanya, ketika itu kenderaan tersebut dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, bagi proses pertuduhan berkaitan kes Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagaimanapun, suspek terbabit diberkas sekitar pukul 1.50 tengah hari di Jinjang.
“Bayangkan di tengah-tengah kesibukan bandaraya Kuala Lumpur ini adalah amat sukar untuk kita (polis) mengesan dan menangkap semula suspek ini namun suspek dapat ditahan dalam tempoh empat jam selepas dia melarikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya juga turut menjalankan siasatan terhadap enam anggota polis yang terbabit dalam penugasan menguruskan suspek terbabit dari IPD Dang Wangi ke mahkamah.
“Kita sedang meneliti sama ada kejadian ini disebabkan kelalaian oleh anggota polis atau kelicikan suspek sehingga dia berjaya melarikan diri.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan selepas itu kami akan menimbang tindakan yang bakal diambil oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap anggota polis terbabit sekiranya didapati mereka cuai atau lalai.
“Saya juga mengambil kesempatan merakamkan penghargaan terhadap langkah Polis Daerah Dang Wangi yang segera bertindak pantas menjalankan Operasi Cari (Op Cari) sehingga berjaya menahan semula suspek,” katanya.
Terdahulu tular dua video di aplikasi Telegram atas akaun Edisi Siasat, yang memaparkan suspek terbabit melarikan diri dengan memanjat pagar belakang IPD Dang Wangi, pagi semalam.
Sumber : Kosmo