Tahan ambulans bukan untuk beri laluan kepada VVIP – Polis

TINDAKAN dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Johor Bahru Utara (JBU) menahan ambulans Sabtu lalu bukan untuk memberi laluan utama kepada konvoi orang kenamaan (VVIP), tetapi bagi mengelakkan pertembungan antara dua kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah JBU Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, dua anggota itu menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, anggota terbabit ditugaskan membuat cut off/point duty di persempadanan daerah Johor Bahru Selatan – JBU dari Jalan Danga Bay menghala ke Skudai ketika kejadian.

Katanya, ketika itu ambulans yang datang dari arah susur Jalan Danga Bay tetap diberikan keutamaan laluan apabila anggota bertugas memberikan ruang laluan antara kenderaan lain untuk maju ke hadapan.

“Anggota yang bertugas juga membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan, pada masa yang sama konvoi berkenaan sudah melalui jalan utama yang berada 100 meter di hadapan lebih awal untuk ke lokasi.

“Sekiranya diberikan laluan hijau kepada ambulans yang datang dari susur jalan itu, ia akan memberi risiko yang besar kepada konvoi dan ambulans terbabit.

“Selepas konvoi itu berlepas, anggota yang bertugas memberi laluan hijau kepada ambulans untuk meneruskan perjalanan. Durasi video menunjukkan penahanan ambulans oleh anggota itu sangat minimum iaitu sekitar 30 saat,” katanya kepada Harian Metro.

Rupiah berkata, tindakan drastik dan strategik diambil anggota yang bertugas selepas membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan kerana ia membabitkan beberapa faktor, antaranya jalan utama laluan konvoi adalah menurun bukit dan laluan ambulans adalah dari jalan susur.

“Malah konvoi itu melepasi laluan lebih awal dari ambulans dan penahanan ambulans berdurasi 30 saat sahaja adalah bagi mengelakkan risiko pertembungan antara konvoi dan ambulans berkenaan.

“Satu laporan polis dibuat berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan ,”katanya.

Dalam video berdurasi 46 saat itu memaparkan dua anggota polis trafik yang menahan sebuah ambulans dipercayai dalam perjalanan membawa pesakit ke hospital.

Menerusi video itu, anggota trafik terbabit menahan ambulans berkenaan bagi memberi laluan kepada konvoi VVIP.

Tindakan itu mendapat kecaman warga maya terhadap anggota polis terbabit yang dilihat mendahului VVIP berbanding nyawa rakyat.

Sumber: Harian Metro