PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa suntikan modal RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) bertujuan untuk menyelesaikan hutang kepada vendor, bukan untuk menguntungkan pemegang saham atau pengurusan lama syarikat tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa dalam usaha penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama terdahulu tidak lagi terlibat, dan pasukan pengurusan baharu telah dilantik bagi melaksanakan pemulihan syarikat.
“Suntikan modal ini khusus untuk membayar hutang kepada kira-kira 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri minyak dan gas, majoritinya syarikat Bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa audit dan ketekunan wajar tambahan sedang dilaksanakan sebelum suntikan modal dimuktamadkan. Hasil siasatan ini akan dikongsi dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi menentukan jika tindakan lanjut perlu diambil.
Beliau turut menjelaskan bahawa dana ini bukan geran, tetapi pelaburan strategik bagi memastikan pemulihan ekosistem industri minyak dan gas negara. Penstrukturan semula SEB telah mendapat kelulusan pemiutang serta mahkamah, dan kerajaan MADANI komited terhadap ketelusan serta tadbir urus yang baik dalam pengurusan kewangan negara.