PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun. Ia sekaligus membuktikan kerajaan prihatin dan mengambil berat mengenai bantuan yang akan diberikan kepada semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun berkata moratorium automatik selama enam bulan bagi membantu peminjam individu dari B40, M40, T20 dan usahawan mikro yang selama ini dibangkitkan rakyat juga telah dipenuhi kerajaan.
Katanya, “Kerajaan juga memperkenalkan i-Citra di mana penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan RM1,000 setiap bulan selama lima bulan dari simpanan mereka bagi membiayai kehidupan mendesak ketika ini”.
“Dalam pada itu, kerajaan akan mengembangkan bantuan dan peluang perniagaan secara digital bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneruskan perniagaan. Selain, lebih banyak peluang pekerjaan akan dicipta melalui pakej Pemulih yang akan memberi peluang kepada anak muda dan wanita untuk bekerja”, jelas Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Tambahnya lagi, Srikandi turut bersyukur kerana kerajaan prihatin dengan tidak mengabaikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat. Sementelahan, bantuan Talian Kasih dan psiko-sosial diperuntukkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani isu sosial, mental, gelandangan di semua peringkat komuniti akan dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh ketua keluarga, wanita dan anak-anak.
Bagi pakej Pemulih, Srikandi bersedia memainkan peranan aktif membantu kerajaan dari segi menyediakan khidmat psiko-sosial, latihan perniagaan secara dalam talian, sokongan dan gerak kerja kemasyarakatan untuk mengembalikan semangat dan memberi dorongan kepada rakyat agar dapat kembali hidup sejahtera.
Sumber: Sinar Harian