SPRM Sita 13 Akaun Berjumlah RM9.33 Juta Dalam Siasatan Melibatkan Ismail Sabri

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita 13 akaun dengan jumlah simpanan sebanyak RM9.33 juta sebagai sebahagian daripada siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri ke-9.

Menurut sumber, akaun-akaun tersebut disita selepas penahanan empat individu yang mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tindakan ini diambil selepas Ahli Parlimen Bera itu dipanggil untuk memberi keterangan buat kali pertama pada 11 Februari lalu.

Difahamkan, akaun yang disita adalah milik beberapa individu, termasuk empat orang yang ditahan oleh SPRM dalam siasatan ini.

Dalam perkembangan lain, SPRM tidak menolak kemungkinan akan memanggil Ismail Sabri untuk memberi keterangan sebaik sahaja cuti sakitnya (MC) berakhir esok. Bagaimanapun, proses ini bergantung kepada tahap kesihatannya serta kebenaran daripada doktor yang merawatnya.

“Dalam temu bual bersama doktor di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya baru-baru ini, masih belum dapat dipastikan sama ada beliau cukup sihat untuk diambil keterangan. Namun, SPRM akan meneruskan usaha ini sekiranya beliau disahkan cergas,” kata sumber berkenaan.

Semalam, SPRM memaklumkan bahawa sebanyak 23 lagi saksi baharu akan dipanggil dalam siasatan kes ini.

Pada Jumaat lalu, pegawai penyiasat telah menemu bual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya. Doktor tersebut merupakan individu yang merawat Ismail Sabri, dan SPRM ingin mendapatkan maklumat mengenai tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.

Ismail Sabri dijadualkan hadir di Ibu Pejabat SPRM pada Sabtu lalu untuk memberi keterangan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya. Difahamkan, beliau diberikan sijil cuti sakit sehingga Rabu ini.

Sebelum ini, beliau telah memberi keterangan kepada SPRM selama kira-kira lima jam, sehari selepas membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari. Beberapa hari kemudian, empat individu, termasuk dua bekas pegawai kanannya, ditahan untuk membantu siasatan.

Siasatan terhadap individu-individu tersebut membawa kepada serbuan di tiga premis, di mana pihak berkuasa menemui wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah RM170 juta serta 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kondominium yang dipercayai digunakan sebagai ‘safehouse’.

Dalam sidang media pada Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Ismail Sabri bukan lagi sekadar saksi dalam siasatan ini, sebaliknya kini diklasifikasikan sebagai suspek utama dalam kes berkenaan.