KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 13 pegawai pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara kerana disyaki terlibat dalam sindiket yang meluluskan pemeriksaan kenderaan berat.
Menurut sumber, semua suspek yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan antara pukul 1 hingga 2 petang semalam, dan antara pukul 10 pagi hingga 3 petang hari ini ketika mereka hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Siastan awal mendapati mereka dipercayai menerima rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan daripada ‘runner’ sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di tempat kerja mereka.
Penahanan semua suspek ini berikutan penahanan enam pegawai pemeriksaan kenderaan pada Isnin lepas serta hasil soal siasat oleh SPRM terhadap seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” kata sumber itu.
Setakat ini, SPRM telah menahan 22 individu termasuk 19 pegawai pemeriksaan kenderaan, seorang ejen dan dua ‘runner’ yang terlibat dalam sindiket tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Beliau juga berkata, semua 13 pegawai pemeriksaan kenderaan yang ditahan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataan mereka dirakam.