Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan pada pembasmian rasuah dalam bidang perolehan, penguatkuasaan, dan rasuah besar bagi membantu ekonomi negara, mengurangkan kebocoran, serta mengembalikan aset dan wang negara yang diselewengkan pada tahun depan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya juga akan melakukan transformasi struktur SPRM, termasuk memperbaiki pendekatan tugasan dan memperkasa fungsi serta peranan setiap bahagian supaya lebih berkesan dalam menjalankan tugas.
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya akan merombak pendekatan yang digunakan dalam SPRM, termasuk cara bekerja, berfikir, dan minda supaya SPRM tidak terperangkap dalam zon selesa,” katanya
Beliau juga berkata, tumpuan akan diberikan kepada penyiasatan tadbir urus melalui penjenamaan semula Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (Perun) kepada Bahagian Penyiasatan Tadbir Urus (BPT), yang memberi kuasa untuk memastikan hasil siasatan dilaksanakan oleh jabatan berkaitan.
Mengenai peningkatan peruntukan kepada SPRM dalam Belanjawan 2025, Azam mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM360 juta, berbanding RM338 juta pada tahun ini.
Azam turut berterima kasih atas kelulusan 200 pegawai tambahan dan berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk proses pengambilan ini. Penambahan pegawai ini bertujuan menguatkan bahagian operasi SPRM, terutamanya dalam kes pengubahan wang haram dan kes berprofil tinggi, selaras dengan strategi SPRM untuk 2025 dan seterusnya.
Selain itu, peruntukan tambahan juga akan digunakan untuk mempromosikan tadbir urus yang baik dalam sektor awam, memperkukuh kerjasama antarabangsa, dan menyokong program pencegahan serta pendidikan yang lebih berkesan.
Azam turut berkata, SPRM akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya bagi menghadapi cabaran semasa kerana kes rasuah kini semakin kompleks.
Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan memberikan kebebasan penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah rasuah.