RENTETAN laporan Mingguan Malaysia berhubung skandal seks kelas atasan yang melibatkan segelintir artis dan instafamous semalam, netizen dilihat mula membuat spekulasi serta andaian sendiri berhubung identiti siapa sebenarnya yang disyaki terlibat dengan kegiatan tak bermaruah itu.
Rata-rata netizen mula bertindak sebagai detektif media sosial terutamanya apabila cuba mengaitkan nama beberapa artis yang disifatkan sendu dan jarang menghiasi kaca televisyen tempatan, namun dilihat sering menayangkan kehidupan mewah di Instagram masing-masing.
Terdahulu menerusi laporan Mingguan Malaysia, ada segelintir artis dan instafamous dipercayai terlibat dalam sindiket pelacuran kelas atasan berikutan penampilan mewah luar biasa mereka dalam sekelip mata.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), golongan artis dan instafamous ini dibayar antara RM20,000 hingga RM40,000 untuk satu malam sebagai pelempias nafsu orang kenamaan.
Kegiatan tersebut dipercayai telah lama berlaku dalam industri hiburan dan mereka yang terlibat sanggup menggadai maruah demi ‘duit segera’. Malah, salah seorang suspek daripada sindiket Macau Scam baru-baru ini dipercayai menjadi orang tengah.
“Isu skandal seks ini muncul rentetan daripada timbulnya kes Macau Scam yang mengejutkan negara baru-baru ini yang mana ia turut melibatkan golongan artis tanah air.
“Dipercayai, salah seorang suspek daripada kes Macau Scam itu adalah antara orang tengah yang menjadi ‘penghubung’ kelompok selebriti dan instafamous yang didekati dan kemudiannya menawarkan harga tertentu untuk kegiatan pelacuran kelas atasan itu,” kata sumber berkenaan.
Dalam pada itu, kata sumber itu, mereka mempunyai nama beberapa artis dan instafamous popular tanah air, namun senarai tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Orang tengah yang terlibat berkemungkinan tidak melakukannya demi wang. Tetapi lebih cenderung untuk meraih reputasi dan pengaruh dalam gelanggang mereka.
“Bagaimanapun, tidak dapat disangkal dakwaan hasil bayaran aktiviti ‘menjual’ artis dan instafamous ini mungkin adalah antara sumber pendapatan yang menyumbang kepada gaya hidup mewah suspek.
“Kita tidak menyebut siapakah individu-individu terbabit, tetapi siapa yang makan cili, dia akan terasa pedasnya,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, jelas sumber itu lagi, pihak SPRM kini sedang memantau media sosial artis-artis dan instafamous yang mempamerkan kemewahan hidup berlebih-lebihan sedangkan pendapatan sebenar melalui hasil lakonan, nyanyian dan perniagaan tidak seberapa.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengakui ada selebriti yang terbabit dalam sindiket pelacuran kelas atasan, namun hanya segelintir kecil selebriti yang terbabit dalam perbuatan tidak bermoral itu.
Zed Zaidi juga tidak menafikan, dengan keadaan sekarang ditambah dengan masalah wabak Covid-19, ramai yang terdesak sehingga membuatkan mereka terjebak dalam sindiket tersebut.
“Sebabnya sekarang cabaran kita ialah media sosial. Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan yang tidak setara dengan pendapatan mereka. Ia sekali gus menunjukkan yang mereka mungkin terbabit dengan perkara itu.
“Apa yang kita bimbangkan adalah hanya disebabkan segelintir selebriti, ia boleh mencemarkan imej industri hiburan tanah air.
“Seniman sebenarnya boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terbabit bagi menyediakan garis panduan terhadap perkara ini.
“Namun jika kita lihat dengan kes yang berlaku sekarang, perkara ini perlu diserahkan kepada PDRM, SPRM dan agensi terbabit untuk urusan lanjut.
“Sekiranya berdasarkan dokumen penyiasatan membuktikan selebriti itu terbabit dan bersalah, ada kemungkinan kami boleh menyenarai hitamkan mereka,” kata Zed Zaidi kepada Harian Metro.
PERHATIAN: Pihak The News Malaysia tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen orang ramai berhubung artikel ini.
Sumber: Utusan Malaysia