Sindiket Bomoh Halau Hantu Ditumpaskan Polis

SINDIKET penipuan bomoh yang memperdaya warga emas di sekitar negeri Pulau Pinang bagi urusan penjualan ubat dan kelengkapan sembahyang terbongkar dengan tertangkapnya lima individu warga asing .

Memetik laporan Buletin TV3, empat daripada suspek adalah wanita dan seorang lagi lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun telah ditahan menerusi Op Gagak, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh, berkata kesemua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu keluar dari negara ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka masuk ke Malaysia secara sah dan pernah beberapa kali berkunjung ke negara ini.

“Kelima-lima mangsa yang membuat laporan polis terdiri daripada wanita warga emas dengan nilai kerugian keseluruhannya hampir RM125,000. Polis merampas sembilan telefon bimbit, bagasi (lima), pelbagai barangan kemas, jam tangan (11) dan dan mata wang China Yuan berjumlah RM60, 853.45,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown.

Fisol berkata, sindiket itu yang bergerak awal pagi bagi mencari mangsa warga emas yang membeli barangan keperluan di pasar awam menawarkan khidmat mengubati penyakit secara bersemuka yang dilakukan berhampiran kawasan pasar awam dan di dalam kereta.

“Ahli sindiket ini akan menghampiri mangsa dan menawarkan ubat bagi merawat penyakit kronik atau khidmat menghalau hantu misalnya, sebelum memberi nombor telefon bagi urusan rawatan itu.

“Suspek turut meyakinkan mangsa supaya menyerahkan wang, barangan kemas atau berharga dalam bentuk bungkusan bagi upacara sembahyang dan mendakwa akan menyerah kembali bungkusan itu kepada mangsa selepas upacara selesai,” katanya.

Fisol berkata, ahli sindiket kemudian menukarkan bungkusan berkenaan dengan bungkusan yang lain serta memberitahu supaya tidak membukanya kecuali apabila sampai di rumah namun sebaik bungkusan itu dibuka di rumah, mangsa mendapati ia hanya mengandungi botol air minuman dan batu bata.

Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) yang mana boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Empat kes penipuan seumpamanya dilaporkan tahun lalu dengan kerugian RM744,610 manakala antara Januari hingga April lalu, lima kes dilaporkan dengan modus operandi sama.

Sumber : Buletin TV3