SESEORANG individu yang tidak membawa atau tertinggal kad pengenalan diri boleh dikenakan tindakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani berkata, pihak polis berhak mengenakan tindakan kepada mana-mana individu yang membuat kesalahan tersebut.
“Kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri sewaktu diperiksa pihak polis adalah satu kesalahan.
“Polis berhak tangkap tanpa waran dan perkara itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(N) PPPN 1990,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Tegas Acryl Sani, kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu pihaknya mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama terhadap pihak polis khususnya sewaktu pemeriksaan dijalankan.
Baru-baru ini, sebuah portal berita mendakwa polis tidak mempunyai hak untuk menahan atau menangkap mana-mana individu yang gagal mengemukan dokumen berkenaan.
PDRM malah menyatakan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturan Pemdaftaran Negara (PPPN) 1990. – TheNewsMalaysia