PENYANYI Siti Sarah Raissuddin mendapat kejutan istimewa apabila menerima seutas jam tangan jenama mewah bernilai puluhan ribu ringgit pemberian suaminya iaitu Shuib sempena hari jadi ke-36 hari ini.
Sarah, 36, menerima kejutan itu pada majlis sambutan hari jadi di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya, pada malam Isnin
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin ini juga mengakui jam tangan mewah tersebut menjadi antara hadiah paling mahal pernah diberi suaminya.
“Saya hargai pemberian suami. Jika hendak diikutkan, saya bukan jenis materialistik. Kalau orang tak suruh beli atau belikan untuk saya, memang tidaklah saya berbuat demikian.
“Setakat ini, tas tangan berjenama antara yang saya beli untuk ganjaran selepas bekerja keras.
“Saya bukan suka pakai aksesori termasuk jam tangan sejak zaman sekolah. Tetapi sekarang, kenalah mula pakai jam tangan,” katanya ditemui pada majlis sambutan hari jadinya di sini, malam tadi.
Sementara itu, Shuib menjelaskan dia mempunyai alasan kukuh menghadiahkan jam tangan mewah kepada isterinya.
“Sebelum ini, saya paksa isteri pakai gelang emas biarpun tahu dia tidak suka aksesori. Sekarang saya hadiahkan jam tangan supaya dia boleh aturkan masa dengan baik.
“Apatah lagi, isteri cemerlang dalam perniagaan kecantikannya. Jika diikutkan, tahun lalu, syarikatnya hampir gulung tikar,” katanya.
Sementara itu, Shuib baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke 36 Sabtu lalu mendedahkan dia turut menerima beg sandang berjenama yang dihadiahkan Sarah.
Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin sejak mendirikan rumah tangga pada 2011.
Sumber: Berita Harian