Setel dulu banjir, PM arah cuti Menteri dibatalkan

BARISAN Menteri Kabinet diarah untuk membatalkan cuti serta merta sebaliknya fokus kepada bantuan mangsa banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk menteri yang berada di luar negara yang turut diarah pulang dengan segera.

“Saya dapat banyak soalan mengenai Menteri-Menteri Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana ada di luar negara balik segera,” katanya dalam satu sidang media di Pahang.

Ismail Sabri turut dikatakan membatalkan lawatan kerjanya ke Bangkok, Thailand yang dijadualkan pada 28 hingga 30 Disember.

Dalam pada itu beliau menghargai sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang menyumbang RM75.8 juta sehingga hari ini.

Katanya, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga telah menyumbang RM5 juta bagi membantu mangsa banjir.

“Sekarang bukan beli makanan, tetapi keperluan rumah dan duit ini akan digunakan untuk bantu mangsa banjir bila mereka pulang ke rumah masing-masing kelak.

“Anggota keselamatan negara juga diminta memberi tumpuan untuk membantu kerja-kerja pembersihan rumah rakyat, apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas ini,” katanya.