GEORGE TOWN – Seorang pendaki warga Singapura dilaporkan tersesat kira-kira dua jam dalam hutan di Pantai Esen, Batu Maung di sini petang tadi.
Mangsa lelaki berusia 21 tahun itu ditemui selamat oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, kira-kira pukul 6.16 petang.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 3.50 petang tadi dan bergegas ke lokasi terbabit.
“Seorang lelaki warga Singapura telah sesat di dalam hutan ketika menjalankan aktiviti mendaki. Mangsa juga dapat dihubungi melalui talian telefon dan telah menghantar lokasi melalui aplikasi WhatsApp kepada Komander Operasi.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat turut dibantu pihak polis dan orang awam. Mangsa berjaya ditemui pada pukul 6.16 petang tadi dan telah dibawa turun dari bukit tersebut,” katanya di sini sebentar tadi.
Beliau memberitahu, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 7.08 malam tadi.
Pada 23 Julai lalu, Kosmo! Online melaporkan empat pendaki terdiri tiga lelaki dan seorang wanita ditemui selamat selepas tersesat dalam hutan yang sama selama empat jam.
Sumber : Kosmo