PENDAKWAH bebas, Ustaz Ebit Lew bakal membawa misi bantuan kemanusiaan bagi menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel di Gaza.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar dalam satu kenyataan, berkata pendakwah berkenaan ke Mesir untuk misi berkenaan bermula 25 hingga 30 Mei ini.
Menurutnya, misi itu telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia.
“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya pada 25 Mei.
Dalam pada itu, segala urusan melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.
Tambah Kamaruddin, biarpun misi ini merupakan inisiatif delegasi Ebit, namun pihaknya menasihatkan mereka supaya sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra.
“Saya telah menasihati delegasi Ustaz Ebit Lew agar sentiasa berhubung, bekerjasama rapat dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir. Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi”, jelasnya.
“Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memuji usaha pendakwah itu dan delegasinya.
Melalui ciapan di Twitter, “Alhamdullillah, usaha yang sangat mulia daripada Ustaz Ebit Lew, demi saudara mara kita di Palestin. Saya secara peribadi amat berterima kasih atas usaha ini”.
Beliau juga turut mendoakan kesejahteraan untuk Ustaz Ebit dan delegasinya sepanjang berada di luar negara nanti dan sedia membantu apa sahaja jika diperlukan.
Sumber: Awani