Sebanyak 59,940 syarikat telah diluluskan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), melibatkan 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan setakat 12 Jun 2024.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata permohonan SKDS meningkat selepas pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga diesel baharu pada 10 Jun 2024.
KPDN telah melancarkan BUDI MADANI: SKDS 2.0 pada 7 Mac 2024, yang pada awalnya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan. Pada 13 Mei 2024, SKDS 2.0 diperluas kepada 14 jenis pengangkutan barangan tambahan, menjadikan 33 jenis kenderaan termasuk 10 jenis pengangkutan awam.
Setakat sehari sebelum pelarasan harga, KPDN menerima permohonan daripada 40,264 syarikat melibatkan 156,242 kenderaan. Pada 10 Jun 2024, kelulusan permohonan melonjak kepada 8,584 syarikat dan 19,612 kenderaan, meningkat 477 peratus untuk syarikat dan 548 peratus untuk kenderaan berbanding hari sebelumnya.
Kelulusan serta-merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel dengan maklumat lengkap. KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat sehingga 30 Jun 2024, tarikh akhir pembayaran tunai bagi penerima SKDS yang belum menerima fleet card.
KPDN menggesa syarikat pengangkutan yang layak untuk segera membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.