USAHAWAN kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai sajat berkemungkinan berada di luar negara.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berdasarkan beberapa maklumat yang diterima, polis percaya kemungkinan itu agak kuat.
Ditanya berhubung keberadaan Sajat di Thailand, pihaknya memaklumkan siasatan terperinci masih giat dijalankan.
“Bagaimana dia berada di sana (Thailand) Wallahualam. Mungkin dia menggunakan kaedah tertentu yang memungkinkan dia boleh berada di luar negara. Apa sekali pun, kita tidak akan putus asa untuk mengesannya.
“Jadi, apa pun kita akan bantu mahkamah syariah untuk mengesan dia (Nur Sajat) kerana kes ini merupakan kes mahkamah syariah.
“Kita akan bantu mengikut kemampuan kita dan kita percaya kita telah berusaha dan kalau subjek ini berada dalam negara kita InsyaAllah kita akan dapat jejak dan kesan. Sementara waktu ini kita perlu bersabar dahulu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani turut mendedahkan polis menerima pelbagai maklumat berhubung keberadaan Sajat di beberapa lokasi.
“Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan. Jadi maklumat itu kita ambil tindakan dengan elemen kita di setiap tempat dan jika betul akan dapat dikesan.
“Tapi apa yang berlaku dia tiada di sana,” katanya lagi.
Sebelum ini, usahawan kosmetik itu menerima waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagaimanapuan dia gagal menghadirkan diri pada sesi sebutan kes tanpa sebarang alasan kukuh pada 23 Februari lalu.