Saham YTL melonjak selepas bebas pertuduhan salah laku 1BestariNet

KUALA LUMPUR: Saham YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd melonjak pada dagangan hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan YTL Communications Sdn Bhd daripada sebarang salah laku dalam siasatan mengenai projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion.

Saham YTL Corp naik sehingga RM2.38 sesaham, sebelum ditutup pada RM2.35, meningkat 9.81% dengan pemodalan pasaran mencapai RM26.08 bilion. Saham YTL Power pula mencecah paras tertinggi RM3.98 sesaham, dan ditutup pada RM3.90, naik 6.56%, dengan pemodalan pasaran RM32.24 bilion.

YTL Power dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam berkata, ia telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap YTL Communications berhubung projek 1BestariNet.

SPRM menyelesaikan siasatan dan mendapati tiada bukti salah laku dalam projek tersebut. Pada 4 September lalu, SPRM menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur dan sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai projek 1BestariNet. Siasatan tertumpu kepada dakwaan butiran palsu berhubung pembayaran RM2.7 bilion serta kemungkinan unsur jenayah lain.

Projek 1BestariNet yang dimulakan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2011 bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah dan memperkenalkan sistem pembelajaran maya. Projek ini pada mulanya dirancang selama 15 tahun dengan peruntukan RM4.07 bilion, namun kemudian dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan. YTL Communications hanya menyelesaikan dua fasa pertama projek tersebut yang berakhir pada Jun 2019.