PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kritikan hebat daripada pemimpin Amanah serta pengguna media sosial apabila tular beberapa keping gambar bersama sekumpulan pemimpin Umno dalam Pesawat eksekutif kerajaan Airbus ACJ319 hanya beberapa jam selepas beliau hadir pada hari pertama bekerja di Pejabat Perdana Menteri.
Gambar-gambar tersebut menunjukkan Ismail menaiki pesawat diiringi bekas menteri besar Kedah, Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said serta beberapa individu lain dipercayai semasa diterbangkan ke Kedah bagi melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir pada hujung minggu.
Rata-rata netizen mempersoalkan kehadiran bersama individu lain dalam pesawat tersebut, malah ada yang mendakwa mereka seakan tidak peka keadaan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
Naib presiden Amanah, Mahfuz Omar melalui perkongsiannya di Facebook secara sinis merujuk kepada frasa “Keluarga Malaysia” yang digunakan Ismail dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Ahad lalu sebagai kaspsyen gambar-gambar yang tukar itu.
Pengerusi AMANAH, Ismail Salleh turut memuat naik status di Facebook dan menyatakan mereka yang berada dalam pesawat tersebut seakan satu keluarga besar.
“Meriahnya satu keluarga besar dalam satu jet,” tulis Ismail Salleh.
Malah semakan The News laman Twitter, rata-rata ciapan netizen mempersoalkan mengapa ahli parlimen dari kawasan lain juga boleh turut serta bersama Perdana Menteri melawat kawasan tragedi di Kedah.
Seperti yang diketahui, penggunaan jet kerajaan sering mendapat perhatian apabila digunakan untuk kegunaan peribadi oleh beberapa menteri Malaysia.
Melalui semakan di Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan, jelas menyatakan bahawa pesawat milik kerajaan persekutuan adalah untuk tujuan rasmi sahaja serta bagi menguruskan hal-hal berkaitan negara dan juga urusan perniagaan berkaitan negara.
Masyarakat juga maklum bahawa Perdana Menteri menggunakan jet kerajaan untuk melawat mangsa banjir di Kedah yang turut ditemani oleh beberapa ahli parlimen dan juga pegawai-pegawai kerajaan.
Ismail turut mengumumkan sebanyak RM75 juta dana khas sebagai bantuan untuk membaiki infrastruktur dan kemudahan awam di Yan dan Merbok.
Justeru, tanpa perlu dipersoal, Ismail Sabr dengan jelas menggunakan aset pesawat kerajaan untuk melawat mereka yang terkesan akibat tragedi kepala air di Yan, Kedah.
Persoalannya, adakah ini wajar dilabel sebagai penyalahgunaan kuasa? -The News Malaysia