SINDIKET perjudian atas talian dan nombor ekor haram yang didalangi warga tempatan dan China dilihat semakin bermaharajalela dan dikatakan mengaut laba jutaan ringgit setiap hari.
Kegiatan itu yang memiliki rangkaian antarabangsa dan organisasi tersusun dilihat memperhebatkan promosi melalui laman sosial untuk menarik kaki judi tempatan. Malah, penutupan premis judi dan nombor ekor berlesen disebabkan penularan wabak Covid-19 menyebabkan mereka menguasai pasaran tempatan hingga dilapor mampu mengaut lebih RM100 juta dalam tempoh dua bulan sejak Mac lalu tanpa perlu membayar cukai kepada kerajaan. Harian Metro menjejaki modus operandi sindiket berkenaan sebelum mendapati selain menggunakan media sosial seperti Facebook (FB) dan kiriman SMS, mereka juga akan mempromosi kegiatan haram itu melalui aplikasi seperti WhasApp, Telegram dan WeChat. Siasatan wartawan juga mendapati sindiket nombor haram kini menjadikan keputusan nombor ekor dari Kemboja sebagai panduan kepada kaki judi di negara ini.
Johnny, 30-an berkata, dia mula terbabit dalam perjudian atas talian selepas bosan ‘terperangkap’ di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. “Saya dapat mesej di WhatsApp, terus cuba dan buka akaun judi. Bila menang sindiket akan buat pembayaran ke akaun bank yang saya berikan ketika membuka akaun berkenaan. Nak buka akaun hanya ambil masa lima hingga 10 minit,” katanya. Ditanya adakah dia bimbang ditangkap pihak berkuasa kerana berjudi, Johnny berkata, polis hanya dilihat menyasarkan penganjur bukannya kaki judi. “Bagi saya itu tindakan yang betul. Terlalu banyak dan mudah untuk berjudi. Hanya perlu klik, isi form (buka akaun) dan masukkan pertaruhan,” katanya. Katanya, setiap kali website judi itu disekat, penganjur akan membuka yang baharu.
Menjawab soalan wartawan, Johnny berkata, bukan sahaja perjudian atas talian malah sindiket turut menyediakan platform bagi cabutan nombor ekor haram. “Cabutan nombor ekor ketika PKP tidak dibenarkan di Malaysia, tetapi sindiket menggunakan cabutan nombor ekor dari Kemboja yang dikenali dengan Grand Dragon Lotto dan pelbagai negara lain lagi. “Individu yang ingin melakukan pertaruhan hanya perlu WhatsApp penyedia platform berkenaaan. Jika nombor yang dibeli ‘kena’, sindiket akan memindahkan wang mengikut jumlah pertaruhan individu berkenaan,” katanya. Sementara itu, Tinjauan Harian Metro ke atas beberapa individu yang menggunakan khidmat perjudian atas talian dan nombor ekor haram mendapati mereka dilihat ketagih dengan aktiviti perjudian. Ada antara mereka sanggup menggunakan wang bantuan yang diberikan kerajaan kerana terjerat dengan pujukan sindiket yang dapat menggandakan wang berkenaan.
Credit : HM