RIZAB petroleum semasa Malaysia bagi hasil minyak dan gas diramalkan dapat bertahan selama 15 tahun lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jangkaan itu mengikut pengiraan Indeks Hayat Rizab setakat 1 Januari 2022.
“Berdasarkan rekod Petroliam Nasional Bhd (Petronas) setakat 1 Januari 2022, anggaran rizab petroleum (2P) di Malaysia adalah sebanyak 6.9 bilion tong minyak setara.
“Menurut pengiraan ‘Indeks Hayat Rizab’, rizab petroleum semasa Malaysia bagi hasil minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 15 tahun.
“Ini boleh dipertingkatkan lagi kepada lebih 40 tahun melalui pelaburan modal tinggi, penggunaan teknologi baharu dan landskap pelaburan yang stabil dan kompetitif,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN – Paya Besar) yang memintanya menyatakan jangka masa hasil daripada sumber minyak dan tenaga asli dapat bertahan membantu pertumbuhan ekonomi negara serta peratusan potensi eksplorasi yang sedang dan akan diterokai.
Memetik laporan Sinar Harian,, Azalina berkata, daripada jumlah keluasan kawasan minyak dan gas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sebanyak 70 peratus telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas yang layak untuk diterokai dan dibangunkan.
Jelasnya, kajian dan perolehan data pula sedang rancak diusahakan di kawasan yang belum diterokai untuk ditawarkan semasa Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) yang akan datang.
Selain itu katanya, Petronas juga telah siap membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di atas tapak seluas 2,551 hektar.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Sinar Harian