“Kami pada awalnya lari menjauhkan diri selepas terdengar bunyi misteri dari beg plastik di hadapan masjid dan tidak menjangka ia sebenarnya bayi perempuan yang ditinggalkan,” kata seorang remaja lelaki, Mohd Iqram Haqeem Abdullah, 14.
Memetik laporan Buletin TV3, Mohd Iqram menjelaskan yang kejadian berlaku pada waktu subuh kira-kira jam 4 pagi Sabtu lalu ketika dia bersama tiga rakan sekolah yang juga jirannya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersahur di sebuah restoran berhampiran.
Menurutnya, mereka yang mahu singgah di masjid untuk ke tandas terkejut mendengar bunyi misteri di tepi pagar Masjid An-Nur Taman Cendana serta bertindak menahan sebuah van kilang bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, lelaki yang memandu van kilang berkenaan yang berhenti lalu memeriksa beg berkenaan mendapati seorang bayi perempuan berbalut tuala berwarna kuning.
“Kami bertambah panik kerana ia merupakan kali pertama berdepan situasi seumpama itu, pemandu van berkenaan bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum menyerahkan bayi kepada seorang petugas di masjid.
“Kami bersyukur kerana tidak meninggalkan bayi itu walaupun ada awalnya bimbang mendengar bunyi misteri itu.
“Selepas pulang ke rumah kami berkongsi pengalaman berkenaan bersama ahli keluarga dan mereka bertindak memuji tindakan kami menyelamatkan bayi berkenaan terutama pada bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kali pertama dalam sejarah kewujudan kawasan perumahan itu kira-kira 20 tahun.
Menurutnya, kemungkinan pelaku beranggapan kawasan berkenaan adalah tempat kunjungan kariah masjid yang mungkin dapat menyelamatkan bayi berkenaan.
“Bayi berkenaan bernasib baik kerana diselamatkan sekumpulan pelajar sekolah, jika ia terus berada di situ mungkin berlaku kejadian tidak diingini berikutan lokasi itu kawasan anjing liar berkeliaran.
“Kami berharap perbuatan seumpama itu adalah kali terakhir kerana ia boleh menimbulkan suatu budaya yang tidak sepatutnya menjadi ikutan dan dicontohi.
“Apa pun kami berharap pelaku berkenaan dikesan secepat mungkin dan diharap bayi berkenaan diberi kesihatan yang baik.
“Bayi berkenaan adalah istimewa, kami anggap sebagai anak angkat sukarelawan dan komuniti kawasan perumahan ini, kami juga tidak sabar bagi mengetahui perkembangannya serta mendoakannya,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat penemuan seorang bayi perempuan cukup sifat dan masih bernyawa di hadapan Masjid An Nur di Taman Cendana pada 5.20 pagi pada 1 April lalu.
“Bayi dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Keadaan bayi sihat dan normal serta kes disiasat mengikut Seksyen 317KK (buang bayi),” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi berkenaan dipercayai berusia anggaran tiga hari ketika ditemui.
“Sehingga kini tiada waris bayi yang tampil menuntutnya.
“Perintah Jagaan Sementara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru akan dipohon bagi membolehkan pelindung kanak-kanak menguruskan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri kanak-kanak,” katanya.
Gambar & Sumber : Buletin TV3