Remaja 16 Tahun Lari Rumah Ikut Teman Lelaki

SEORANG remaja perempuan berusia 16 tahun nekad melarikan diri, dipercayai mengikuti teman lelakinya ke Ipoh, Perak.

Menurut ibu kepada remaja itu, anaknya disedari hilang selepas dia mahu dijemput pulang dari sekolah di Kluang, kira-kira 3 petang semalam.

Katanya, anak ketiga daripada tujuh beradik itu pernah meluahkan hasrat untuk berhenti sekolah beberapa minggu sebelum kejadian, selain berkemungkinan berkecil hati selepas ditegur kerana ‘bergayut’ di telefon sehingga jam 2 hingga 3 pagi.

“Usaha kami menghubunginya gagal kerana nombor telefon kami sudah disekat oleh (anak saya).

“Namun, Alhamdulillah pagi tadi, dia membalas WhatsApp dan panggilan telefon daripada gurunya menyatakan dia selamat sampai di Ipoh, kira-kira 6 pagi, dengan menaiki bas.

“Saya percaya (dia) berbuat demikian selepas tidak dapat menerima teguran kerana menghabiskan masa bercakap dengan seseorang di telefon dipercayai teman lelaki dan dia tidak dikenali keluarga saya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Katanya, terdahulu, pada mulanya dia menyangkakan anaknya lambat keluar sekolah kerana ada tugasan di perpustakaan sekolah.

“Saya terkejut kerana guru kelas menyatakan anak saya tidak hadir ke sekolah.

“Rakan sekelas (anak saya) menyatakan bahawa dia ingin ke ke Perak, pada Jumaat lalu.

“Kehilangannya amat merisaukan kami sekeluarga kerana dia tidak pernah berbuat seperti ini, malah hubungan kami anak-beranak elok sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, menurut saksi, kali terakhir remaja itu dilihat adalah di sebuah kedai dobi layan diri berdekatan sekolahnya itu pada pagi kejadian.

Katanya, anaknya itu pendiam dan rapat dengan dua adik perempuannya yang berusia tiga dan lima tahun, selain kakak sulungnya.

“Saya, suami dan anak paling kecil dalam perjalanan ke Ipoh untuk mencari anak di sana, semoga semua urusan kami dipermudahkan dan anak kami selamat ditemukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu semalam.

Katanya, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan pelajar sekolah itu dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab berkaitan kehilangannya.

Sumber : Berita Harian