PERANG psikologi mula tercetus antara pengendali Liverpool dan Chelsea, Jurgen Klopp dan Frank Lampard menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana England (EPL) hujung minggu ini.
Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan sebenar di Stamford Bridge Ahad ini bagi memburu kemenangan kedua sebaik lulus mengutip tiga mata penting pada aksi sulung masing-masing minggu lepas.
Biarpun sepak mula perlawanan masih belum bermula, Klopp sudah pun terlebih dahulu ‘menyerang’ Lampard apabila The Blues berbelanja lebih 200 juta pound (RM1.06 billion) pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Antara nama besar yang berhijrah ke Stamford Bridge musim ini termasuklah Timo Werner, Hakim Ziyech, Kai Havertz, Thiago Silva dan Ben Chilwell.
Justeru, Klopp yang hanya berbelanja 11.75 juta pound (RM62.8 juta) menerusi pembelian Kostas Tsimikas musim ini percaya ia sesuatu yang tidak adil untuk membandingkan skuad kendaliannya dengan anak-anak buah Lampard.
“Susah nak habaq, kita dok ada dalam dunia yang sungguh tak ketahuan hala laa ni.
“Liverpool lain weih pasai kami pi final Liga Juara-Juara (UCL) dua tahun lepaih, setahun lepaih tu menang UCL pulak pastu julang piala EPL ikut stail kami.
“Bila ikut stail kami, pasaipa ada pulak yang habaq kami kena ikut stail Chelsea pulak. Depa lain laa pasai depa banyak beli player baru tahun ni,” ujar Klopp.
Lampard bagaimanapun kembali ‘troll’ Klopp dan menegaskan The Blues sekadar ‘meniru’ apa yang pernah dilakukan The Reds yang turut pernah berbelanja besar ketika mendapatkan tanda tangan pemain sebelum ini.
“Jangan nak dok mengata pasai kami sangat naa. Leicester jaa yang jarang nak joli sakan bab beli player ni, padahai team lain pun sama jaa dok pulun beli player yang baguih-baguih dok ada kat merket nuu.
“Liverpool pun sama gak. Time depa sakan beli (Virgil) Van Dijk, Alisson (Becker), Fabinho, (Naby) Keita, (Sadio) Mane dengan (Mohamed) Salah tu apa dia? Rega depa pun bukan murah weih.
“Memang la manager depa hebat, sistem team depa pun baguih. Tapi depa pun pulun beli ramai player sebelum ni.
“Kami tiru jaa depa buat benda sama, jadi pasaipa depa nak kalut pulak. Lawak laa depa ni,” jelas Lampard.
Apa yang pasti, kenyataan Klopp juga dilihat seolah-olah memakan diri sendiri apabila media di England semalam melaporkan nilai pasaran pemain kesebelasan utama Liverpool ketika menewaskan Leeds United dengan kemenangan 4-3 tempoh hari sebenarnya berjumlah 356 juta pound (RM1.9 bilion); jauh lebih mahal berbanding nilai pasaran pemain kesebelasan utama Chelsea – 332 juta pound (RM1.7 bilion) ketika mengatasi Brighton & Hove Albion 3-1 minggu lepas.
Selain pertemuan antara Chelsea-Liverpool, pertembungan Manchester United-Crystal Palace serta Wolverhampton Wanderers-Manchester City juga antara aksi-aksi menarik lain bagi saingan EPL minggu ini. – Agensi
Sumber: Berita Harian