MACAM-macam hal, pasal seluar dalam pun boleh bergaduh besar sesama jiran.
Seperti mana ‘drama’ yang viral hasil perkongsian seorang lelaki, Van J Edward di laman Facebook miliknya baru-baru ini, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Singapura.
Pada mulanya, seorang penghuni unit di kondominium terbabit telah meninggalkan sekeping nota di peti surat seorang jiran di tingkat atas bersama bungkusan beg plastik kerana menyangka ia sampah yang dibuang jiran terbabit ke rumahnya.
Siapa sangka, jiran tingkat atas terbabit kemudiannya menyelongkar beg plastik yang mengandungi beberapa helai seluar dalam itu sebelum membalas semula nota berkenaan serta menafikan seluar dalam itu kepunyaannya.
Tidak mahu mengeruhkan keadaan, seorang lagi individu yang dipercayai penghuni unit lain akhirnya meninggalkan nota di peti surat yang sama serta mengaku dirinya adalah pemilik sebenar seluar dalam itu.
Individu itu menjelaskan, salah faham itu dipercayai berpunca daripada angin kuat sehingga menyebabkan pakaian dalamnya terbang dibawa angin ke rumah jiran terbabit.
Lebih menggeletek hati netizen, pemilik seluar dalam tersebut juga mempelawa kedua-dua jiran yang bergaduh itu makan malam KFC percuma bersamanya sebagai tanda berdamai di sebalik salah faham yang berlaku. -TheNews Malaysia
Sumber: Facebook