Puluhan Ribu Penumpang Akan Banjiri Lapangan Terbang Mulai Hari Ini

Puluhan ribu penumpang dijangka membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 mulai hari ini hingga malam Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata waktu kemuncak penumpang mula balik kampung menggunakan pengangkutan udara ialah hari ini dan Ahad kerana ramai mengambil cuti sempena perayaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.

“Sabtu dan Ahad dijangka paling sibuk kerana kebanyakan ambil peluang cuti pada Isnin dan Selasa. Kebanyakan penerbangan sudah penuh 9 April,” katanya usai majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama AirAsia dari Kuala Lumpur ke Miri di KLIA Terminal 2 di sini semalam.

Loke berkata tiga syarikat penerbangan iaitu AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air mendapat sambutan tinggi dengan muatan penuh sejak tiga minggu lepas terutama bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur ke Tawau.

Beliau turut meraikan pekerja sektor pengangkutan udara termasuk juruteknik kerana mengorbankan masa dan cuti raya mereka bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Loke juga berkata inisiatif penerbangan lewat malam AirAsia memanfaatkan 22,000 penumpang ke Sarawak dengan tambang tetap pada RM298 sehala dan RM348 ke Sabah.

Beliau berkata sebanyak 122 penerbangan lewat malam AirAsia yang bermula semalam hingga 14 April bukan sahaja memastikan penerbangan mencukupi sempena Aidilfitri malah penumpang dapat nikmati tambang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Bo Lingam pula berkata inisiatif penerbangan tambahan lewat malam merupakan komitmen syarikat penerbangan itu bagi memastikan tambang berpatutan dapat dinikmati oleh semua lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

“Hari Raya merupakan antara tempoh paling sibuk bagi AirAsia dengan lebih 500 penerbangan harian akan berlepas dari semua hab AirAsia,” katanya.

Beliau berkata semua hab AirAsia dijangka menyaksikan kebanjiran penumpang sebanyak 75,000 bermula hari ini dengan 40,000 daripada mereka di KLIA Terminal 2.

— BERNAMA