Program World #QuranHour Dijangka Kembali Gemilang

Program World #QuranHour yang tidak dapat diadakan secara besar-besaran akibat penularan Covid-19 sejak tiga tahun lalu dijangka akan kembali gemilang dan mendapat sambutan luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata ia adalah kerana program yang bermula sejak 2015 itu dilihat sebagai jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Katanya lagi, ketika pandemik melanda seluruh negara beberapa tahun lalu, program tersebut hanya mampu diadakan secara dalam talian dan lokasi perdana di studio.

“Kita hanya boleh sediakan studio untuk lokasi perdana disebabkan kekangan wabak Covid-19. Di negeri-negeri pula hanya diadakan secara atas talian dan tidak bersemuka seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Namun pada tahun ini, semua lapisan masyarakat dapat duduk bersama dalam satu program untuk membaca dan menghayati al-Quran sempena program World #QuranHour,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, menurut Marhaini, program tersebut mendapat jumlah peserta tertinggi pada tahun 2019 apabila merekodkan sebanyak 1.46 bilion peserta.

“Saya percaya pada tahun ini kita akan dapat mencapai sasaran iaitu sebanyak 1.6 bilion tanda pagar (hashtag) QuranHour dari seluruh dunia berdasarkan pencapaian World #QuranHour pada empat tahun lepas.

“Lagipun, pada tahun ini kita sudah capai 946 juta hashtag. Bagaimanapun, masih berbaki dua hari lagi untuk membuat penilaian, saya berharap semua pihak akan terus menguar-uarkan program ini kepada orang ramai,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, persiapan bagi menjayakan program tersebut juga sedang giat dijalankan di seluruh negara.

Sumber : Sinar Harian | Gambar : Riwaq Al Quran