PENERBIT Eksekutif Muzik-Muzik 35, Nurul Huda Khalid memberitahu setakat ini, hanya 12 lagu akan bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, 7 Februari tahun depan, lapor Kosmo!
Katanya, memang ada perbincangan daripada meja juri untuk menambah kuota lagu bertanding dalam AJL35, namun tiada hitam putih untuk merealisasikan desakan ramai tersebut.
“Kita masih berpegang kepada pendirian yang sedia ada. Tetap 12 lagu, tiada perubahan. Saya bukan ‘decision maker’ (pembuat keputusan), saya pun bekerja macam orang lain.
“Juri pun tiadalah buat rayuan secara rasmi atau pun dalam bentuk hitam putih. Saya sebagai penerbit tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan yang telah dimuktamadkan pihak juri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Untuk rekod, AJL pernah sekali sahaja menambah kuota lagu yang bertanding di pentas berprestij iaitu pada edisi ke-23 tahun 2009 apabila sebanyak 14 lagu layak bertanding berbanding kebiasaan 12 lagu.
Nurul Huda juga tidak menafikan kesemua 30 lagu yang bertanding mempunyai kehebatan dan mempunyai kualiti yang bagus.
“Ada proses pre-judging (pra-penjurian), bukan kita bagi markah malam itu sahaja, bukan dalam masa dua tiga jam sahaja.
“Sebagai penerbit, saya beritahu kepada juri bahawa produksi mahu mereka mempertimbangkan lagu-lagu terpilih mempunyai warna. Warna di sini bermaksud ada kepelbagaian bukan hanya balada atau pop rock.
“Secara peribadi, saya sendiri terkejut lagu seperti Sakit dan Sembah gagal mara ke AJL35. Dua lagu itu antara kegemaran peribadi saya tetapi apa boleh buat, tiada rezeki buat lagu-lagu itu dan lagu lain pula terpilih,” katanya lagi.
Ditanya apa alasan yang menyebabkan sukar untuk pihak penganjur menambah kuota lagu dalam AJL35, jawab Nurul Huda, ada banyak sebab antaranya kekangan masa atau bahasa produksi, ‘over run’.
“TV3 bukan siaran TV berbayar. 15 lagu terlalu panjang masa persembahannya nanti. Kalau ‘over run’ beberapa minit tidak mengapa, kalau terlalu sampai berjam sukar nanti.
“AJL pun sudah ada pengisian yang padat dan juga program-program lain yang akan ditayangkan selepas acara itu. Jadi, lebih baik kita cegah daripada perkara yang tidak sepatutnya terjadi,” ujarnya.
Tambah Nurul Huda, ada dalam kalangan juri tidak tahu pun lagu mana yang popular di radio atau pun sedang di bibir peminat namun mereka lebih arif tentang soal melodi dan penulisan lirik.
“Ada tujuh orang juri. Mereka mempunyai kepakaran dan kebijaksanaan masing-masing. Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak tahu mana lagu yang popular. Jadi mereka buat kerja mereka iaitu menghakimi lagu dengan seadil-adilnya,” ujarnya.
Terdahulu, ketua juri, Azmeer mendedahkan, tabulasi markah diberikan berdasarkan 40 peratus dari kualiti melodi, manakala 60 peratus lagi dari segi susunan muzik, persembahan vokal dan lirik.
Juri profesional terdiri daripada komposer Ajai, Edrie Hashim, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, Fauzi Marzuki, AG Coco dan Azmeer yang bertindak sebagai ketua juri.
Selasa lalu, 12 lagu diumumkan layak ke AJL35 iaitu Belenggu Rindu nyanyian Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Semalam (Aina Abdul), Peluang Kedua (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Gundah (Ernie Zakri), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Gila (Kaka Azraff, Noki dan Tuju), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Eh (Zizi Kirana).
Sumber: Kosmo!