“HANG tau kaa dak pasai bola?”
Itu reaksi spontan majoriti penyokong fanatik skuad bola sepak terhadap kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berhubung teka-teki masa depan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak bersama Kedah.
Rata-rata penyokong fanatik skuad Lang Merah meluahkan kekecewaan masing-masing di laman sosial dengan apa yang diperkatakan oleh presiden KFA itu kerana ia seolah-olah dilihat tidak mencerminkan pengurusan skuad itu berada di landasan yang betul memandangkan saingan liga musim ini masih belum berakhir.
Ini bukan kali pertama Muhammad Sanusi memberikan kenyataan yang tidak konkrit dan meyakinkan kepada media sehingga menyebabkan ribuan penyokong skuad Hijau Kuning seolah-olah hilang kepercayaan terhadap kapasiti beliau untuk terus menerajui persatuan bola sepak negeri itu.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang bersikap terbuka jika Aidil Sharin ingin berhijrah ke pasukan lain.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan jurulatih dari Singapura itu masih mempunyai kontrak bersama pasukan Kedah sehingga akhir musim ini dan khidmatnya diperlukan.
“Saya belum dapat maklumat tentang perkara tersebut (pindah), tapi negara kita negara demokrasi, siapa-siapa pun boleh pergi ke mana-mana yang mereka suka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar kelmarin.
Ia rentetan desas-desus kemungkinan Aidil Sharin ‘dilamar’ untuk menerajui pasukan Perak menggantikan Mehmet Durakovic bagi saingan musim depan.
Aidil bagaimanapun enggan melayan sebarang sentimen di luar padang dan komited untuk setia bersama skuad Pulun Kedah Pulun menghabiskan saingan musim ini.
Pada masa sama, peminat fanatik Kedah juga menganggap kenyataan Muhammad Sanusi supaya pemain yang juga anak jati Kedah dapat meneruskan khidmat mereka untuk skuad Lang Merah sebagai suatu jenaka yang melucukan.
“Kami minta kalau boleh, anak-anak Kedah yang hebat, duduk dan cari makan di tempat sendiri, taburlah budi di Kedah,” kata Muhammad Sanusi.
Pada sidang media yang sama, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan barisan pemain skuad Lang Merah untuk menyusun semula struktur gaji mereka.
“Semua orang faham KFA ada beban kewangan, salah satu punca masalah itu adalah tangga gaji dan saya ucap terima kasih kepada semua pemain yang sedia mengadakan perbincangan.
“Selepas ini, jika ada yang tidak boleh terima kemungkinan pengurangan gaji dan tidak sesuai dengan kemahiran mereka, KFA terbuka kerana mereka pemain profesional yang boleh tawarkan khidmat di mana-mana,” katanya.
Sumber berita: Berita Harian