Polis terima laporan terhadap pempengaruh kendali pakej pelancongan ke Seoul

KUALA LUMPUR: Polis menerima lima laporan mengenai dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan, yang dikendalikan oleh seorang pempengaruh dan usahawan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menerima laporan tersebut, tetapi ia dikategorikan sebagai laporan luar kawasan.

“Semakan mendapati lima laporan polis telah dibuat mengenai dakwaan penipuan ini,” katanya hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa seramai 10 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan oleh pempengaruh Kim Seri. Pakej tersebut menawarkan perjalanan selama lima hari ke Seoul dengan harga sekitar RM4,000.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang individu mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan Kim Seri (nama sebenar Seri Azlina). Video itu mendapat perhatian ramai yang bersimpati dan menggesa mangsa membuat laporan polis.

Semalam, Kim Seri memohon maaf melalui Instagram Story dan berjanji untuk menyelesaikan bayaran tertunggak kepada pelanggan yang terjejas oleh penundaan trip tersebut sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.