Polis Tahan 2 Suspek, Tumpaskan Sindiket ‘Ah Long’

BUKIT MERTAJAM – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjalankan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di negeri ini ekoran penahanan dua orang suspek di Bandar Perda, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek yang berusia 22 dan 28 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa peralatan berkaitan termasuk pelbagai telefon bimbit, kad nama, buku latihan, kertas putih, kad urusniaga dan buku bil.

“Semakan lanjut mendapati, kedua-dua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikannya dibanteras habis-habisan. 

Sumber : Utusan Malaysia