Sejak Januari lalu, polis telah merekodkan rampasan mercun dan bunga api bernilai RM2.25 juta di seluruh Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menjalankan sebanyak 107 pemeriksaan penjualan mercun dan bunga api.
Menurutnya, 13 daripadanya membawa kepada rampasan bernilai RM2.25 juta.
“Pihak polis sentiasa melakukan pemeriksaan dan serbuan bagi mengesan penjualan tanpa kelulusan,” katanya kepada Sinar Harian.
Hussein berkata, untuk rekod, setakat Jumaat, sebanyak 2,258 permohonan menjual mercun dan bunga api diluluskan di seluruh Selangor melibatkan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Katanya, paling banyak adalah di IPD Klang Utara, Klang Selatan, Kajang, Kuala Langat dan Kuala Selangor iaitu sekitar 250 hingga 300 kelulusan.
Tambahnya, orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dan prihatin kepada jiran tetangga serta harta benda awam agar tidak membakar mercun secara salah.
Sumber & Gambar : Sinar Harian