POLIS menafikan dakwaan sebuah restoran di Jalan Sultan Ismail yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Mohamad Zainal Abdullah berkata, video tular mendakwa restoran berkenaan beroperasi lebih masa adalah tidak benar berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan pihak polis.
“Restoran tersebut beroperasi mengikut waktu yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu antara jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Hasil siasatan ke atas video tular tersebut didapati restoran berkenaan tidak melakukan sebarang pelanggaran SOP PKP,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal dalam masa sama menegaskan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang sengaja menularkan perkara yang tidak tepat sehingga menjejaskan imej pihak berkuasa.
Video tular yang berdurasi 42 saat itu menunjukkan seorang individu lelaki yang membuat rakaman menerusi kenderaannya mendakwa premis tersebut menjalankan operasi lebih masa sewaktu PKP.
Ini termasuk dakwaan kepada pihak berkuasa yang sengaja tidak mengambil tindakan terhadap restoran berkenaan.