Polis Minta Henti Tular Video Lelaki OKU Dipukul

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

CHUKAI: Polis menyeru orang ramai menghentikan penularan video seorang lelaki OKU mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Wan Muhamad Wan Ja’afar, berkata penyebaran video itu telah menimbulkan kekeliruan dan pertikaian di media sosial. Polis juga memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menularkan video atau memberikan komen negatif yang mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Setakat ini, empat lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun telah ditahan, manakala tiga saksi awam dipanggil untuk membantu siasatan. Wan Muhamad memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara telus, dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Sementara itu, isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, meluahkan rasa sedih melihat suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dipukul dengan kejam. Akibat kejadian itu, suaminya mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Hati saya hancur melihat dia dipukul dan disiram mee goreng di kepala. Jika dia bersalah, perkara itu boleh diselesaikan secara baik, bukan dengan cara tidak berperikemanusiaan,” katanya.

– BERNAMA