Polis Menahan Suami Isteri Edar Pil Kuda, Jumpa Pistol Yang Ditanam Di Halaman Rumah Ketika Serbuan

Sepasang suami isteri yang terlibat dengan kegiatan pengedaran sebanyak 5,770 biji pil kuda bernilai RM63,470 dicekup selepas kereta yang dinaiki mereka ditahan di Kampung Sering, Tok Ku di Kota Bharu semalam.

Kereta yang dinaiki lelaki berusia 27 tahun bersama isterinya berusia 33 tahun yang merupakan warganegara Thailand itu ditahan kira-kira pukul 11.10 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis menjalankan pemeriksaan di dalam kereta itu sebelum menemui sebahagian pil kuda bersama kedua-dua suspek.

Menurutnya, polis kemudiaannya menjalankan serbuan di rumah suspek di kampung yang sama dan menjumpai sebahagian lagi dadah.

“Pemeriksaan di bahagian dinding konkrit di halaman rumah suspek kemudiannya menemui sepucuk Revolver .38 S&W Special CTG yang ditanam dalam tanah.

“Siasatan mendapati pasangan terbabit menggunakan pistol tersebut untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Senjata api itu dan kesemua dadah itu dipercayai diseludup dari Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Katanya, suspek lelaki direman selama tujuh hari manakala isterinya enam hari masing-masing bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : Kosmo