POLIS Selangor akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam di seluruh negeri Selangor.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketegasan itu susulan kes diterima pihaknya termasuk membabitkan kecederaan orang awam di Gombak dan individu bermain di jalan raya.
Katanya, perbuatan membakar mercun selepas tengah malam itu menyalahi peraturan mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Pembakaran itu hanya dibenarkan di kawasan lapang dan bukannya di depan rumah atau pada waktu tengah malam dan membahayakan orang lain.
“Polis akan bertindak tegas jika mengesan dan menerima laporan perbuatan itu terutamanya selepas pukul 12 tengah malam,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 peringkat kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, semalam.
Hussein berkata, pihaknya juga akan memperketatkan kawalan dan pemantauan di semua lokasi terutama kawasan perumahan di semua daerah negeri Selangor.
Sumber : Harian Metro | Gambar : Kosmo