PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa bimbang ekoran generasi muda dilihat tidak lagi cenderung untuk menceburi bidang sastera, seni dan budaya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemikiran tersebut perlu diubah bagi membangunkan sebuah negara yang bertamadun.
Menurutnya, beliau akui bahawa bidang Sains, Teknologi, Jurutera dan Matematik (STEM) adalah keutamaan ketika ini, namun ia tidak mampu membentuk seseorang individu.
“Saya ada berbincang dengan (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) mengenai keutamaan sekarang iaitu kerangka ke arah sains dan matematik yang juga lemah dalam kalangan generasi muda terutama anak-anak Melayu sekarang.
“Tetapi kita kan manusia, maka manusiawi tidak mampu dibentuk dengan hanya kerangka teknologi, sains atau digitalisasi kerana ia dibentuk dengan bahasa dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini semalam.
Dalam pada itu, kata Anwar, walaupun terdapat pandangan yang serong bahawa seni dan sastera itu tidak relevan, tetapi ia perlu dipupuk untuk mengangkat martabat bangsa.
“Namun, saya tak nafikan bahawa ekonomi masih ‘fundamental’ (asas), tetapi kita bicara soal karamah insaniah tentunya pada iktikad, akhlak, nilai termasuk pengucapan hati nurani dalam bahasa yang terindah mungkin.
“Sebab itu bila saya di lapangan bersama anak-anak muda, saya berasa bimbang kerana minat dan kecenderungan ke arah ini sudah tidak ada,” ujarnya.
Justeru, Anwar menegaskan segala buku-buku yang dihasilkan termasuk daripada DBP perlu diwacanakan di peringkat sekolah dan pengajian tinggi agar semangat budaya dapat diterapkan dalam masyarakat.
Sumber gambar & laporan – Kosmo Digital