PM hadiakan perkhidmatan percuma RapidKL selama sebulan

BERITA baik untuk rakyat Malaysia apabila kerajaan mengumumkan tambang percuma selama sebulan bagi semua perkhidmatan pengangkutan kendalian RapidKL.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan khabar gembira itu sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu, hari ini.

Tambang percuma itu merangkumi perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel serta bas RapidKL.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat.

“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambahnya, usaha itu juga memudahkan orang ramai untuk mendapatkan akses ke tempat kerja serta aktiviti sosial.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.

Sembilan stesen baharu yang dibuka ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, serta Sri Delima dan Kampung Batu.