PM Anwar Komited Teruskan Legasi Tunku Abdul Rahman

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmennya untuk meneruskan perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Malaysia, dalam membina negara yang lebih sempurna dan makmur untuk semua rakyat. Memetik dari hantaran posting facebook beliau.

Menurut beliau lagi, tiga nilai utama yang diwariskan oleh Tunku – perpaduan, integriti, dan keadilan – akan terus menjadi teras dalam pentadbiran Kerajaan MADANI. Anwar menekankan bahawa Tunku bukan sekadar dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan, tetapi juga sebagai simbol perpaduan yang berjaya menyatukan pelbagai kaum dalam membentuk identiti nasional yang harmoni.

Sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia (31 Ogos 1957 – 22 September 1970), Tunku yang dilahirkan di Alor Setar pada 8 Februari 1903, telah meninggalkan legasi kepimpinan yang menjadi panduan dalam usaha membina negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Anwar turut menyeru agar semangat Tunku dalam memastikan keamanan dan keharmonian negara terus menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa. Beliau turut mendoakan agar roh Almarhum Tunku Abdul Rahman dilimpahkan dengan ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT.