Pelakon Shahronizam Noor dilaporkan kehilangan jari kelingking tangan kanan akibat terkena pisau.
Memetik laporan mStar, insiden itu berlaku ketika dia sedang memotong ayam menggunakan sebilah pisau pemotong daging namun tersasar pada jarinya.
Kata anak tirinya, Daniel Khairi, kemalangan itu berlaku selepas mereka sekeluarga selesai berbuka puasa di rumah pada malam Isnin.
Shahronizam dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan di Hospital Ampang Kuala Lumpur.
Namun begitu, jari Shahronizam tidak dapat diselamatkan.
“Selesai berbuka puasa, abah pergi ke dapur untuk memotong daging ayam untuk diberikan kepada kucing peliharaan kami.
“Tetapi ketika proses memotong daging ayam, pisau abah tersasar lalu terkena jari kelingkingnya.
“Melihat jarinya yang terkulai putus, kami terus bawa abah ke hospital untuk mendapatkan rawatan memandangkan kecederaannya parah,” kongsinya kepada mStar.
Jelasnya lagi, pegawai perubatan berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka serta jari kelingking itu dibekukan dalam sebuah bekas.
Hal ini kerana, proses penyambungan tidak dapat dilakukan dengan segera kerana tiada doktor pakar yang bertugas.
Walaubagaimanapun, keadaan Shahronizam dikhabarkan dalam keadaan stabil namun masih berada di wad untuk pemerhatian.
“Petugas perlu menunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari tersebut boleh disambungkan semula atau sebaliknya.
“Bagaimanapun, malangnya pagi Selasa doktor pakar memaklumkan jari abah tidak dapat disambung semula memandangkan urat arteri yang menyambung darah telah pun putus,” ujarnya.
Sumber & Gambar : Mstar