PENGERUSI Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video tular semasa siaran langsung YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar memberitahu Utusan Malaysia, individu berusia 40-an itu ditahan di kediamannya di Kajang dekat sini.
“Suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kira-kira pukul 11 malam tadi.
“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok bagi siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu Dev Kumar memberitahu, pihaknya sedang mengesan Iswardy susulan laporan polis dibuat terhadap video dimuat naik individu berkenaan di YouTube miliknya pada 28 Mei lalu.
Jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Iswardy memuat naik video siaran langsung berhubung “Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini” di YouTube Iswardy Morni Official.
Melalui video yang telah mendapat tontonan lebih 99 ribu orang itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoal sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menerima video disunting individu lain mendakwa Iswardy menghina Seri Paduka.
“Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu. Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” dakwanya.
Selain itu, dalam video itu, Iswardy turut membandingkan Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.
“Jadi Tuanku nak buat apa Tuanku, kalau tahun lepas cepat bertindak, sekarang macam mana, bila nak bertindak. Takpe lah, biar ramai rakyat Tuanku mati, lawan tetap lawan,” dakwanya lagi.
Sumber: Utusan