SEORANG penyampai radio di Sabah memohon maaf selepas tersilap menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal semalam.
Mohd. Safwan Junit dalam hantarannya dilaman Facebook mengaku tersilap menyiarkan azan sebanyak dua kali iaitu pada pukul 6.16 dan 6.20 petang.
“Saya, Mohd. Safwan Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam “Syoknya Hujung Minggu” melakukan kesilapan teknikal yang mana azan maghrib disiarkan dua kali iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.
“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 petang dikumandangkan lebih awal dari waktunya menyebabkan ramai dalam kalangan warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal waktu,” katanya.
Katanya lagi, dia secara peribadi dan rendah hati memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan situasi tidak diduga itu.
“Kesilapan ini adalah kesilapan dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM. Yang baik datangnya daripada ALLAH dan yang kurang itu datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri. Mohon ‘share’ permohonan maaf ini,” katanya.
Pengakuan secara terbuka itu turut mendapat pujian kerana berani membuat pengakuan secara terbuka.