Masih ramai orang awam yang kurang peka dengan arahan Rapid KL yang masih mewajibkan pengguna memakai pelitup muka ketika berada di dalam tren dan bas.
Memetik laporan Sinar Harian, Rapid KL telah membuat satu kenyataan di Facebook, mengingatkan pengguna kemudahan berkenaan untuk mematuhi peraturan tersebut.
“Anda disarankan untuk sentiasa mematuhi peraturan ketika menggunakan pengangkutan awam demi keselesaan bersama,” memetik kenyataan di Facebook.
Sementara itu, rata-rata pengguna bersetuju dengan langkah keselamatan yang diwajibkan oleh perkhidmatan awam tersebut.
Pemilik akaun Facebook, Ammirul Nazri memohon supaya Rapid KL mengambil tindakan terhadap pengguna yang mengambil mudah peraturan tersebut.
“Sila ambil tindakan. Terlalu ramai yang tak memakai pelitup muka. Kalau benda ini bukan kewajipan, maka ramai yang tidak akan pakai. Tren 236 bersepah-sepah (tak pakai pelitup muka),” tulisnya di ruangan komen.
Lucy Primz pula memaklumkan, terdapat pengguna yang masih berdegil walaupun telah ditegur secara baik oleh polis bantuan yang sedang bertugas.
“Semakin ramai tidak memakai pelitup muka, polis-polis bantuan sudah menegur secara baik tetapi penumpang masih degil. Lokasi KL Sentral-Gombak- KL Sentral,” ujarnya.
Gambar : Soya Cincau / Wikimedia Commons | Sumber : Sinar Harian