SEORANG penjawat awam yang membuat provokasi di media sosial dengan menyatakan sokongan secara terbuka terhadap kekejaman rejim zionis yang tular sehingga mencetuskan kemarahan netizen didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan selepas diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah pada Selasa, lapor Astro AWANI.
“Pihak polis Melaka Tengah menerima laporan berkaitan kes video tular suspek yang menyokong Israel dalam aplikasi TikTok yang mana hasil siasatan, suspek telah memuat naik video itu dengan nama pengguna @pahlawan90 sehingga menimbulkan reaksi negatif masyarakat.
“Susulan itu, suspek yang merupakan penjawat awam di Melaka itu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin,” katanya.
Ujarnya lagi, lelaki berkenaan juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika membuat rakaman video berkenaan sebelum memuatnaiknya ke media sosial berdasarkan siasatan yang telah dijalankan.
“Pihak polis berjaya merampas satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video tersebut di aplikasi TikTok dan suspek kini ditahan reman selama dua hari dibawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Lelaki itu juga disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana memuat naik video menyentuh sensitiviti agama itu,” jelasnya.
Tambah Afzanizar, pihak polis turut menyeru kepada orang awam supaya menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab tanpa membuat sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat yang berbilang kaum.
Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi 59 saat di aplikasi TikTok yang dimuat naik seorang penjawat awam dipercayai kakitangan penjara Sungai Udang, di sini berhubung pendiriannya yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap kekejaman rejim Israel kepada masyarakat Palestin.
Video itu mendapat perhatian netizen dan mendatangkan rasa kurang senang kepada rakyat Malaysia yang menganggap individu berkenaan tidak sensitif dengan isu global yang sedang berlaku ketika ini.
Sumber: Astro AWANI