SEORANG penjaja buah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh tengah hari tadi atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu isterinya, pada Jun 2021 dan April lalu.
Bagaimanapun tertuduh yang berusia 22 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, lapor Berita Harian.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun secara meraba payu dara mangsa di sebuah rumah di Batu 6, Lorong Imam Haji Hashim, Tambak Bugis, Bukit Lintang, dekat sini, pada Jun 2021, kira-kira jam 8 pagi.
Pertuduhan kedua, dia didapati melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama yang berusia 17 tahun ketika kejadian pada April lalu kira-kira jam 9 pagi di tempat sama.
Memetik lapora Berita Harian lagi, kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa adalah sepupu kepada isteri tertuduh, namun mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan sekiranya dipertimbangkan mahkamah.
Peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga buah potong sambil dibantu isterinya dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Selain itu, katanya tertuduh juga perlu menjaga ibu bapa mentua yang juga orang kurang upaya (OKU) serta bersedia dengan syarat tambahan ditetapkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta syarat tambahah tertuduh dan keluarganya tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai atau jaminan dibatalkan jika ingkar.
9 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes itu bagi serahan dokumen.
Sumber: Berita Harian