SIAPA sangka individu yang berpakaian kemas kemeja lengan panjang berserta seluar slack yang berdiri di tepi jalan ini merupakan pengurus sebuah hotel terkenal.
Sambil memegang sepanduk dan berteriak “tiga ringgit, tiga ringgit” di tepi jalan, ia seakan gambaran yang biasa dilakukan peniaga pasar malam.
Namun itulah realiti yang dihadapi pengusaha industri pelancongan seperti Jeffrey Lim.
Di luar Red Rock Hotel di sepanjang Jalan Macalister di Pulau Pinang, hotel yang dikendalikannya itu menyaksikan pekerjanya menyediakan makanan, seperti mana dilakukan oleh penjaja kecil.
Bagi Lim, dia tidak boleh berputus asa dalam situasi terdesak ini demi pekerjanya.
“Ini sebenarnya untuk menolong kakitangan, menolong hotel untuk bertahan pada masa Covid-19.
“Kami harus pertahankan hotel untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kita tidak boleh bergantung lebih kerana tidak banyak untuk industri perhotelan dari kerajaan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Dengan sektor pelancongan terhenti sepenuhnya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) perniagaan hotel berdepan situasi gulung tikar kelak.
Oleh itu, Lim berkata dia terpaksa menjual makanan kepada orang ramai untuk mengekalkan perniagaannya.
Antara menu yang dijual mereka termasuk nasi ayam, nasi itik, kuey teow goreng, mi udang dan nasi goreng.
Banyak hotel termasuklah yang ternama telah terjejas teruk ketika PKP.
Hampir seluruh negeri di Malaysia diletakkan di bawah PKP kedua pada bermula 13 Januari lalu.
Tidak seperti PKP pertama, majoriti sektor ekonomi masih beroperasi, namun sektor perhotelan terus terkesan kerana ketiadaan pelancong.
Sumber: bernama